Showing posts with label The Senario of Life. Show all posts
Showing posts with label The Senario of Life. Show all posts

Sunday, October 25, 2009

Flying Fox (2)

Sebelum bermulanya aktiviti Flying Fox, pensyarah kami iaitu En. Hisham memberikan sedikit penerangan dan nasihat mengenai aktiviti yang bakal kami lakukan nanti. Seperti biasa, kumpulan kami memulakan aktiviti dengan bacaan doa. Selepas itu, bermula la aktiviti kami untuk melakukan Flying Fox.

Aku berasa geli hati melihat gelagat masing2 apabila kami memulakan Flying Fox. Maklumlah, kami semua tidak pernah melakukan aktiviti ini. Apabila pensyarah kami memberitahu bahawa orang yang berbadan besar akan melakukan aktiviti Flying Fox ini terlebih dahulu, aku mula tertanya2. Kenapa pula mereka yang berbadan besar akan memulakan Fyling Fox ini? Bukannya aktiviti ini tidak kira akan fizikal seseorang itu untuk melakukan aktiviti2 seperti ini? Bukan apa, ini kerana aku dan beberapa rakan yang berbadan kecil diminta untuk bersedia melakukan aktiviti Flying Fox. Namun demikian, setelah pensyarah menjelaskan mengapa peserta yang berbadan besar diminta untuk memulakan aktiviti tersebut, barulah aku faham. Aku tersenyum. Oleh kerana ramai diantara rakan-rakanku berbadan besar dan tinggi, aku dan beberapa rakan yang berbadan kecil pula duduk sambil melihat rakan-rakan yang lain melakukan Flying Fox tersebut. Seorang demi seorang melakukan Flying Fox tersebut. Aku agak geli hati melihat gelagat masing-masing. Ada yang gelabah, ada yang tutup mata, ada yang rasa seronok, malah ada juga yang sempat menjerit sambil ketawa. Pelik betul. Tapi itu la yang terjadi. Semakin lama mereka yang berbadan besar selesai melakukan aktiviti Flying Fox tersebut, semakin berdebar pula rasa hati aku. Dari perasaan teruja, aku pula yang menjadi tidak tentu hala. Ini kerana setelah aku berada di atas bukit untuk melakukan aktiviti ini, aku tiba-tiba terbayang-bayang kemungkinan aku akan terjatuh semasa melakukan aktiviti Flying Fox nanti. Aik, macammana pula boleh terbayang sedemikian? Aduh. Oleh kerana tidak mahu berfikiran negatif, aku cuba menenangkan fikiran dengan berfikir tentang rakan2 ku yang lain yang telah selamat melakukan aktiviti Flying Fox tersebut. Malah, ada yang teringin untuk melakukan Flying Fox kali kedua. Oklah, aku nak buat juga. Tentu rasa seronok. Apabila tiba giliran aku, aku terus menuju ke arah adik2 iaitu pelajar sepenuh masa yang membantu dalam aktiviti ini. Alangkah berdebarnya rasa di hati semasa mereka membantu 'menyiapkan' diri ku untuk bersedia melakukan Flying Fox nanti. Oleh kerana badanku agak kecil, aku terpaksa 'memanjat' sehingga tali untuk aku pegang itu dapat dicapai. Setelah beberapa minit kemudian, adik2 yang melihat aku dah macam gelabah sedikit memberi kata2 semangat. Maklumlah, badanku tak 'bergerak' kerana aku bertindak memegang tali yang lain. Dah la aku terasa kaki ku tidak mencecah tanah, bertambah gemuruh la aku dibuatnya. Alahai.

"Kak, lepaskan je tali tu, kita tolong pegang dari belakang. Jangan risau. Ok punya.." kata salah seorang pelajar sepenuh masa kepada aku. Tidak mahu mengecewakan mereka dan juga diri sendiri, aku melepaskan tali tersebut. Seperti biasa, aku memberi 'signal' untuk melakukan aktiviti Flying Fox dan sebaik sahaja wisel berbunyi (tanda OK la tu), aku 'dilepaskan' lalu dengan lajunya aku 'terbang'. Yahuu, perasaan gemuruh tadi terus hilang, malah aku rasa seronok pula. Semasa tiba di penghujung, aku hampir2 terlanggar batang pokok. Lalu aku cuba mengelak dengan menggunakan kaki kanan memandangkan kaki kiri ku masih dalam keadaan sakit dan masih dalam proses pemulihan, namun apakan daya kaki kiri ku terkena juga pada batang pokok tersebut. Aku menahan kesakitan kerana tidak mahu 'memanjakan' diri. Dengan bantuan beberapa orang pelajar sepenuh masa yang lain yang telah siap sedia menunggu, aku akhirnya 'dilepaskan' dari tali tersebtu.

Ya! Akhirnya aku berjaya juga melakukan aktiviti Flying Fox tersebut. Aku tersenyum gembira walaupun kaki ku berasa sakit sedikit. Aku cukup gembira kerana dapat merasai aktiviti seumpama ini. Ini menjadi satu lagi pengalaman baru bagiku dalam dunia rekreasi. Aku gembira, malah aku teringin mengulanginya semula.


Flying Fox

24hb Oktober 2009 @ 8.10pagi

Seawal jam 8.10 pagi, aku terkejut dari tidur. Aku menjadi kelam kabut kerana terlewat bangun untuk menghadiri kelas Rekreasi di UiTM. Aku bukannya sengaja mahu bangun lewat tetapi gara2 menelan pil penahan sakit dan pil tidur semalam menyebabkan aku terlajak tidur. Tanpa membuang masa, aku terus mandi dan bersiap-sedia untuk pergi ke UiTM. Tanpa bersarapan pagi, aku hanya singgah ke sebuah restoran mamak dan membeli setin minuman milo, sebungkus roti dan sebotol air mineral. Cukup untuk aku bersarapan di dalam kereta sambil memandu.

24hb Oktober 209 @ 8.30pagi

Sebaik sahaja sampai di UiTM Shah Alam, aku terus menuju ke kawasan bangunan kolam renang kerana aku difahamkan yang kelas kami akan melakukan aktiviti Flying Fox. Ei, seronoknya. Setelah meletakkan kereta kesayanganku di tempat letak kenderaan, aku mencari tempat di mana Flying Fox itu dibuat. Aku menjadi keliru. Dimana pula mereka semua buat Flying Fox tu?? Aku cuba menghubungi hampir kesemua rakan2 sekelas ku namun hampa kerana tiada seorang pun yang menjawab panggilanku. Kemana mereka semua??

Tidak lama kemudian, aku terlihat kereta Kancil milik rakanku tiba. Syukur, beliau datang tepat pada masanya. Boleh la aku pergi ke tempat Flying Fox bersamanya. Aku menunggunya keluar dari kereta dan kami kemudian berjalan bersama-sama menuju ke tempat Flying Fox. La, tak perasan pula aku ada jalan kecil menuju ke belakang bangunan kolam renang tu. Sebaik sahaja sampai di destinasi, kelihatan rakan2 sekelas ku, para pelajar sepenuh masa dan juga seorang pelajar e-PJJ beserta dengan pensyarah sedang berusaha mengikat tali di pokok untuk tujuan aktiviti Flying Fox. Seronok pula rasanya melihat tali2 tersebut walaupun perasaan gemuruh tu ada. Setelah berhempas pulas, akhirnya Flying Fox tersebut berjaya dibuat dengan baik. Hanya tunggu untuk melakukan aktiviti Flying Fox dan me'rasai' pengalaman bagaimana betul2 'terbang' (Flying). Tak sabar rasanya nak mencuba.

(Sambung..)

Monday, October 19, 2009

Nombor Tuah Yang Tidak Bertuah

13hb-15hb Oktober 2009
PERTANDINGAN OLAHRAGA DAN TARIK TALI PIALA KP SELANGOR 2009.

Setelah begitu sekian lama aku meninggalkan sukan olahraga hampir 18 tahun, aku mengambil keputusan untuk bergiat aktif semula dalam sukan tersebut. Itupun setelah seorang rakan sekerja aku bertanyakan kepadaku samada aku berminat untuk mewakili IPD dalam acara olahraga. Setelah berfikir beberapa seketika, aku bersetuju menyertai olahraga dalam acara 100m dan 4x100m. Hanya untuk suka2 dan mahu melepaskan rasa tekanan.

Namun demikian, aku tidak mempunyai masa yang cukup untuk melakukan latihan. Acara bermula pada 13hb Oktober 2009 sedangkan aku dimaklumkan seminggu sebelum pertandingan bermula. Sempatkah aku melakukan latihan? Melihat kepada jadualku yang padat, aku sememangnya tidak mempunyai ruang masa yang cukup untuk melakukan latihan. Aku berserah sahaja kepada Tuhan. Kalah menang perkara biasa. Itu yang bermain di fikiranku.

13hb-14hb Oktober 2009, pertandingan bermula dengan acara tarik tali. Oleh kerana acara olahraga hanya berlangsung pada 15hb Oktober 2009, aku masih tidak melakukan apa2 persiapan untuk acara yang akan aku sertai nanti, kecuali membeli kasut spike bernilai RM89.90 dan sehelai seluar sukan tight bernilai RM117/-. Pergh! Mengalahkan ahli sukan la pula. Bukan sengaja nak beli mahal tapi dah malas nak berjalan jauh mencari merata-rata tempat. Beli je apa yang ada di depan mata. 'Menangis' gak hati ni nak keluarkan duit semata2 nak membeli hanya sepasang kasut dan sehelai seluar tight je. Sukan punya pasal. hari yang ditunggu-tunggukan telah tiba, 15hb Oktober 2009 tarikh bersejarah bagiku kerana akan melakukan larian 100m dan 4x100m yang telah sekian lama ditinggalkan dan tanpa sebarang latihan. Aku diberikan nombor 111. "Nombor bertuah tu", kata beberapa orang kepadaku. Aku hanya tersenyum. Apa yang bertuahnya? Bukannya aku ada latihan pun. Takpe la.

'Ke garisan, mula..' BANG!! Bunyi tembakan dilepaskan. Seramai lapan orang peserta termasuk aku terus lari menuju ke depan. Aku dan salah seorang pelari bersaing sesama sendiri bagi merebutkan tempat pertama, manakala yang lain jauh ketinggalan di belakang. Alahai..namun, sebaik menghampiri di garisan penamat, aku tiba-tiba terjatuh dan tergolek. Aduh! Sakit bukan main. Aku cuba berdiri tetapi kaki ku terasa amat sakit lalu aku melihat lututku rupa-rupanya telah terluka dan berdarah. Lalu aku biarkan sahaja para pelari yang lain menamatkan larian mereka. Dengan bantuan beberapa anggota pertahanan awam, aku dipapah dan dirawat. Aku agak bengang apabila beberapa orang datang ke arahku dan bertanya kenapa tak merangkak untuk sampai ke garisan penamat. Aku dah la kesakitan, itu pula yang ditanya. Rasa macam nak lempang je. Aku diam sambil menahan kesakitan. Tidak kurang juga ada yang datang untuk bertanyakan bagaimana keadaan aku. Terima kasih, ada juga yang ambil berat.

Rupa2nya pingat yang ku dapat 'terlekat' di lutut. Apa taknya, luka sebesar pingat dan darah mengalir keluar. Geram dan terkilan, bukan kerana kalah tetapi saat kemenangan itu hilang begitu sahaja gara2 terjatuh dan tergolek betul2 di depan garisan penamat. Nampak gayanya nombor bertuah aku itu tidak membawa tuah kepadaku. Takpe la, aku menganggap ini sebagai pengalaman yang tidak akan aku lupakan. Hidup Sukan!!

Tuesday, October 6, 2009

Orienteering di Bukit Cerakah

30hb September 2009

Tit tit..tit tit..tit tit..tit tit..alarm jamku berbunyi, lalu aku bangun dalam keadaan yang lemah dan masih mengantuk kerana terpaksa bekerja lebih masa. Jam menunjukkan 6.30pagi, namun oleh kerana masih dalam keadaan mengantuk yang teramat sangat, aku mengunci alarm jam sekali lagi sebelum menyambung tidur semula..kroohh..kroohh..kroohh..

Jam 8.30pagi, aku secara automatik tersedar dari tidur. Mengapa alarm tak berbunyi semula sedangkan aku telah mengunci semula untuk bangun pada jam 7.00pagi? Aduh, nampak sangat kepenatan aku ini terserlah. Walaupun masih dalam keadaan mengantuk dan tidak mahu membuang masa, aku terus masuk ke bilik mandi bagi menyegarkan badan. Hari ini aku bersama-sama kawan-kawan SR113 PLK-PDRM perlu menghadiri orienteering yang akan diadakan di Bukit Cerakah, Shah Alam.

Selesai mandi dan menyiapkan diri, aku hanya minum segelas air kosong sebelum bertolak ke Bukit Cerakah, Shah Alam. Aku memandu m/kar kesayanganku menuju ke destinasi. Aduhai, kenapa la aku masih dalam keadaan mengantuk ini? Oleh kerana tidak tahan mengantuk, aku telah singgah ke sebuah stesen minyak di Shah Alam bukan untuk mengisi minyak petrol, tetapi aku perlukan sesuatu untuk mengelakkan diri aku daripada mengantuk. Pada mulanya aku tidak mahu membeli minuman tersebut kerana teringatkan keadaan kesihatan aku yang baru mahu beransur pulih tetapi oleh kerana kelopak mataku yang degil mahu 'tutup'kembali, aku beli juga 2 tin minuman nescafe dan sebotol air mineral. Aku kemudian minum air nescafe tersebut dan dalam beberapa saat, aku tidak lagi berasa mengantuk, namun kepala aku pula yang mula sakit dan berdenyut-denyut. Aduhai, nak 'segar' punya pasal, kepala pula yang sakit.

Sebaik sahaja sampai di Bukit Cerakah, Shah Alam, aku ternampak (2) orang pelajar full-time degree yang sedang duduk sambil melambai kearah ku. Selepas meletakkan m/kar aku, aku terus menuju ke arah mereka dan barulah aku sedar yang mereka sebenarnya sedang menunggu kedatangan kakak-kakak dan abang-abang PLK-PDRM yang lambat untuk dibawa masuk ke dalam kawasan Bukit Cerakah dimana program orienteering akan dilakukan.

Setelah menunggu beberapa ketika, kami kemudian berjalan kaki bersama-sama dan masuk ke dalam kawasan tersebut sehinggalah ke tempat para pelajar PLK-PDRM, full-time student dan pensyarah sedang menunggu dan berkumpul. Sampai disana, tanpa membuang masa aku terus berkumpul bersama-sama dengan rakan-rakan yang lain. Selang beberapa minit kemudian, Atoy (Shariffah) pula muncul. Nampaknya kami berdua adalah orang yang paling lambat datang dan kami juga la orang yang terakhir membuat orienteering nanti. Sebelum bermula, kami membuat sedikit senaman dan mengulangkaji semula bagaimana menggunakan kompas. Sakit kepala tetapi aku masih mampu tersenyum. Tidak sabar rasanya mahu melakukan orienteering dan mendapatkan pengalaman ini..

(Sambung...)

Kesabaran Yang Teruji

"Kamu dikehendaki menyelia anggota2 bawahan yang diberikan kepada kamu sepanjang tempoh bertugas pada Hari Raya pertama sehingga Hari Raya ketiga..", begitulah kata2 pegawai atasan yang memberi arahan kepada ku baru2 ini..

Seperti biasa, setiap tahun aku akan bertugas setiap kali menjelangnya Hari Raya. Cuma kali ini, aku diberi tanggungjawab untuk menyelia anggota2 'junior'. Maklumlah, kali ini juga ramai yang bercuti raya dan balik ke kampung halaman masing2. Pada mulanya, aku dapat menyelia dan memantau pergerakan anggoata2 dibawah seliaan aku. Aku tersenyum puas walaupun rasa penat sedikit kerana tidak cukup tidur. Maklumlah, ada kalanya telefon bimbit ku berdering dihubungi oleh pegawai untuk tugasan. Tidak kurang juga anggota2 yang mahu memaklumkan pergerakan mereka kepada ku. Dan deringan telefon membuatkan aku tidak dapat tidur lena kerana mengenangkan tugasan yang perlu dilaksanakan. Nasib baik juga la mereka ini mendengar arahan walaupun pangkat ku tidak la setinggi mana. Sekurang-kurangnya, aku dihormati sebagai penyelia mereka. Maklumlah, penyelia sporting..

Namun demikian, masuk hari ketiga tiba-tiba aku mendapat tahu daripada salah seorang daripada mereka telah tidak hadir tugas. Dan aku menjadi mangsa apabila ditanya oleh pihak atasan dimanakah anggota ini berada. Tanpa membuang masa, aku berusaha mencarinya sehari suntuk dan akhirnya aku mendapat tahu dia berada di Kuala Lumpur. Aku bengang lalu cuba menghubunginya beberapa kali tetapi panggilan tidak dijawab. Malah, beliau bertindak mematikan telefon bimbitnya itu dan tindakannya menyebabkan aku naik berang. Pada malam itu, aku dipanggil oleh pegawai ku dan bertanyakan tentang anggota tersebut. Aku tidak dapat memberikan penjelasan yang baik lalu aku berterus-terang kepadanya dan ingatkan hanya diberi nasihat atau teguran. Alangkah sakitnya hati gara2 perangai budak 'sekor' ni, aku dimarahi. Aku kemudian cuba menghubungi anggota berkenaan dengan harapan panggilan telefonku dijawab namun hampa. Lalu aku menyampaikan pesanan kepada rakan2 serumahnya supaya menghubungi dan berjumpa denganku dalam kadar segera.

Setelah beberapa jam menunggu dan tepat jam 3.30 pagi (keesokkan pagi), aku masih lagi bertugas ketika itu dan sedang menyiapkan laporan apabila anggota tersebut datang berjumpa denganku sambil tersengih-sengih. Berang melihat gelagatnya itu, aku terus membebel dan memarahinya kerana terlalu bengang. Terkejut dengan tindakan ku, beliau mula menggigil dan berulang kali meminta maaf kerana aku memberitahunya yang aku dikehendaki memberikannya 'surat cinta' untuk dijawab. Setelah hampir 30 minit beliau enggan berganjak dari mejaku kerana asyik memujuk untuk tidak mengambil sebarang tindakan keatasnya. Aku bertegas dan menyuruhnya supaya datang semula pada jam 8.00 pagi nanti. Beliau kemudian balik dalam keadaan muka yang pucat dan hampa. Aku bukan tidak mahu memberi peluang atau mahu menganiayai sesiapa, cuma aku menjalankan tugas aku sebagai seorang penyelia. Sebenarnya peluang telahpun diberikan, namun ia disia-siakan. Maka, salahkah aku bertegas dalam keadaan dan masa-masa tertentu?

Saturday, September 5, 2009

Tak Keruan...

Tidur tak lena, makan banyak, baca nota tak masuk kepala, tengok tv hati tak senang. Itulah yang terjadi pada diri ku pada pagi ini. Bayangkan la sehingga jarum jam menunjukkan 5.30 pagi, aku masih gagal melelapkan mata. Minum air milo berulang kali pun mata ku tetap segar. Apa taknya, asyik teringat pasal abseiling..hahaha..

Oleh kerana aku tidak dapat tidur, aku melayari internet dan mencari maklumat lanjut mengenai abseiling. Dalam kekhusyukan aku membaca artikel mengenai abseiling, sesekali aku rasa sudah tidak sabar mahu melakukannya..dan sesekali aku menjadi tiba-tiba seram kerana tahap keselamatan abseiling. Bukan mahu mempertikaikannya, tetapi macam-macam yang telah aku bayangkan. Apakah perasaan nanti semasa melakukan aktiviti abseiling ini nanti?? Apakah yang akan terjadi? Selamat kah aku? Boleh kah aku melakukannya??...Aduh, macam-macam persoalan yang timbul. Semakin aku memikirkan dari sudut positif, aku pasti akan tersenyum tetapi apabila aku memikirkan dari sudut negatif, aku mula susah hati. Aduh, apa nak buat ni?? Sehingga jam menunjukkan 6.30pagi, aku masih lagi tidak tidur tetapi sudah ada tanda-tanda mengantuk pula. Aisey, mana boleh tidur? Kan kena pergi abseiling..Alamak!! Masanya telah tiba..lalu aku terus pergi mandi untuk menyegarkan badan. Selepas bersiap, aku melangkah keluar dari rumah dan menuju ke sebuah kedai restoran mamak yang terletak tidak jauh dari rumahku untuk bersarapan pagi. Tepat jam 7.30pagi, aku telahpun berada di UiTM dan sempat melelapkan mata untuk seketika. Tidak lama selepas itu, aku bersama-sama dengan rakan-rakan PLK-PDRM yang telah berkumpul bersama menuju ke tingkat 11 bangunan Fakulti Kejuruteraan Awam untuk memulakan pengalaman kami dalam dunia abseiling! Alahai..

Tuesday, September 1, 2009

'Righteous'










Menarik..sungguh menarik...

Membaca setiap blog yang dihasilkan oleh member-member FSSR termasuk ePJJ dan PLK-PDRM menunjukkan betapa hebatnya mereka dalam menghasilkan nukilan dan penulisan. Tidak lupa juga penasihat utama bagi blog tersebut yang begitu hebat dalam penulisan. Istimewa dan mempunyai cara yang tersendiri. Selain daripada cerita mengenai rekreasi, segala luahan hati, pengalaman dalam diri, kerjaya malah mengenai keluarga juga diceritakan di dalam blog warga FSSR. Apabila diamati dan dibaca, sebenarnya ianya menarik perhatian dan seolah-olah memberikan kita suatu cerita yang mahu dikongsi bersama. Namun, di dalam keghairahan menulis blog, ada juga yang meluahkan perasaan seolah-olah 'sedih' dan ketidakpuasan hatinya terhadap blogger yang lain. Mengapa? Setelah diamati dan dianalisis semula, ternyata ia berpunca daripada satu teguran yang diberikan oleh seseorang yang penting. Tidak dinafikan, setelah diberi nasihat, ternyata banyak blog telah dikemaskinikan. Malah, ada yang menghasilkan blog yang berwarna-warni dan menarik. Diluar jangkaan..

Sesuai dengan luahan hatinya, ada baiknya si penulis blog yang dimaksudkan ini dikenali dengan nama samaran 'Mr. Feel'. Mr.Feel menyedari akan penulis-penulis blogger FSSR mula 'rajin' mengemaskinikan blog masing-masing kerana dua angka dan satu simbol iaitu angka 15 dan simbol %. Dalam penulisannya, ternyata si penulis agak 'kecewa' dengan blog rakan-rakannya dimana beliau merasakan blog yang dibacanya dahulu menarik kini bertukar menjadi 'tragedi'. Kejujuran dalam penulisan blog dipersoalkan dan dipinta dengan rendah hati. Sungguh mulia. Bukan bermaksud merendahkan sesiapa, atau menyakiti hati tetapi hanya kejujuran yang dipersoalkan oleh si penulis blog. Jelas sekali kekecewaannya terhadap penulisan blog yng dihasilkan oleh teman-teman seperjuangan yang lain. Namun demikian, dalam meluahkan perasaan 'kecewa'nya itu, beliau terlupa untuk menilai semasa membaca setiap penulisan di setiap blog yang dikunjunginya. Di dalam blog masing-masing, seperti yang dikatakan dari awal tadi, para penulis menulis blog mereka berdasarkan pengalaman, luahan hati dan macam-macam lagi terutamanya berkaitan dengan rekreasi. Ada yang menulis blog mengenai keluarganya sebagai sebahagian daripada isi kandungan blog tersebut, tidak kurang ada juga yang menulis syair, pantun, lirik lagu. Yang penting, cerita mengenai rekreasi mesti ada di dalam setiap blog. Melihat akan keadaan in, apakah si penulis menyedari akan penulisan yang dihasilkan oleh setiap blogger FSSR ini bermula dari luahan hati mereka?? Tidakkah si penulis menyedari bahawa penasihat utama di dalam blog FSSR ini juga melakukan perkara yang sama??

Jangan salahkan Mr. Feel. Beliau tidak bersalah. Beliau juga insan biasa seperti kita semua. Kata-katanya itu ada kebenarannya dan ada kesilapannya. Benar kerana beliau menyedari sebahagian blog rakan-rakannya yang sebelum ini tidak dikemaskinikan, kini menampakkan 'hasil' (secara mendadak). Silap kerana beliau tidak menyusuri blog-blog tersebut secara teliti. Blog penasihat utama dibaca tetapi tidak 'diperhatikan' atau difahami secara menyeluruh. Jika beliau berbuat demikian, aku percaya beliau pasti dapat menilai akan isi kandungan yang tersurat dan tersirat di dalam blog penasihat utama, seterusnya dapat menilai dan 'melihat' akan kejujuran penulis-penulis blog yang lain dalam menghasilkan penulisan mereka masing-masing. Walau apa pun, sifat yang ada di dalam diri Mr. Feel harus dipuji kerana berjaya 'membuka' mata dan minda, bukan sekadar cerita yang direka, tetapi kejujuran dan kebenaran yang dipinta. Bukan semua yang berani untuk membuat 'permintaan' sebegitu, tetapi itulah hakikat yang perlu kita terima dengan hati yang terbuka dan minda yang positif.

Akhir sekali, pohon kemaafan jika ada yang terkasar bahasa, tersalah kata atau tersinggung. Bukan niat untuk melukakan hati dan perasaan atau merendahkan sesiapa, sekadar untuk berkongsi pandangan dan pemikiran yang terbina.

Kepada semua penulis-penulis yang dikasihi, seperti kata-kata Mr. Feel..kejujuran adalah penting dalam penulisan anda semua. Kejujuran melambangkan diri anda sendiri..

Kepada Mr. Feel, bak kata pepatah orang putih, 'Don't judge a book by its cover.' ..

Kepada semua (termasuk Mr. Feel), 'The righteous eat to their hearts' content, but the stomach of the wicked goes hungry'..

Salam hormat..


"Apasal kulit gelap semacam ni?" tanya seorang pegawai ku apabila terserempak di pejabat. "Berenang dalam laut, tuan" jawab ku spontan. Lalu dia memandangku sambil berkerut dahi. "Berenang dalam laut? Kat mana?" beliau bertanya lagi. 'Pulau Kapas, Terengganu", jawab ku pendek. "Jauhnya, bercuti ke kursus?" Sekali lagi beliau bertanya. "Recreation tuan. Salah satu subjek Sains Sukan yang saya belajar sekarang ni." jawabku lagi. "Oh, macam seronok je. Banyak juga aktiviti u ye, patutla i perasan u selalu takde sekarang ni. Bila i tanya yang lain u pi mana, diorang kata u kursus." Katanya. Aku menjadi tidak sedap hati kerana mendengar kata-katanya itu lalu aku bertanya kenapa beliau mencari aku. Rupa-rupanya beliau perlukan bantuan untuk tugas-tugas tertentu. Aik, kenapa la aku sering dicari. Bukan aku mahu menolak kerja tetapi aku berasa pelik. Setiap kali ada tugasan penting atau memerlukan tugas itu dilaksanakan dengan kadar segera, pasti aku yang dicari. Tanpa segan silu, aku terus bertanya kepadanya, "Ada masalah ke tuan? Kan ada yang lain boleh bantu." Dengan selambanya pegawai ku berkata, "Ada memang ada, masalahnya bila i call atau suruh diorang, takde sorang pun yang nak datang tolong. Macam-macam alasan..sakitlah, ada hal la, tak reti nak buat la, macam-macam. Kalau datang pun buat muka masam, buat keja ala kadar. Kalau u, senang..call je u datang. Tak banyak songeh. U marah pun tapi u buat. Keja complete".

"Cheh, nie memuji ke mengampu nie?", aku berkata dalam hati. 'Tapi tuan, tuan harus faham dan panggil diorang dalam mesyuarat. Kena bagitau la. Keluarkan satu arahan tetap dan buat satu fail kerja. Bagi tugasan masing-masing. Tak pun buat rolling kerja. At least takde la yang curi tulang. Takkan saya je yang kena buat, kalau saya dah takde besok kat sini, keja tempat lain ke atau meninggal dunia ke, takkan tuan sanggup cari saya jauh-jauh? Takkan nak korek kubur saya, tuan? Kalau bangun dari kubur, belum tentu tuan nak sembang dengan saya, kut-kut tuan lari lintang-pukang." kata ku kepadanya. Mendengar penjelasan aku itu, pegawai ku hanya tersenyum sambil berkata," Tau, i pun faham. Kalau i di tempat u, i pun cakap gitu..tapi setakat ni u je yang boleh tolong..bila i tanya yang lain, semua rujuk nama u. Takpe la, at least keja u bagi u advantage dalam kerja. . Lagipun i suka cara u, u tetap dengan pendirian u. Hati U keras, tapi U baik. Hampir semua u tahu buat, i pun tak heran kalau semua rujuk kat U. U sebenarnya untung, sebab banyak pengalaman keja u dapat sebab u tak pilih keja. Orang respect kat u. Orang lain tak boleh kelentong u. Jangan ambil hati ye."

"Respect, respect gak tuan. Keja tu memang keja, tapi bila saya jatuh sakit, sebab terlalu keja takde siapa yang ambil tau..sakit hati juga tuan. Tuan jangan tak tahu, dalam diam2 pun ada yang tak puas hati kat saya. Saya tak kacau orang, tapi orang suka kacau saya. Bila saya ambil tindakan, kata saya tegas la, tak berhati perutlah, itu la, ini la. Walhal yang menjadi mangsa saya. Masa susah, semua cari saya..tapi bila dah senang, semua lari. Saya pun ada perasaan, tau bersabar tau marah. Bersabar lama-lama pun, tiba masanya meletup gak." Habis semua aku luahkan kepada pegawaiku. Melihat riak wajah ku yang sudah berubah, beliau memujukku dan menasihati aku supaya bersabar banyak-banyak. Beliau meminta maaf kerana menyinggung perasaan ku. Aku bukan marah kepadanya, tetapi sekadar meluahkan apa yang tersimpan di dalam hati. Bila ku fikirkan balik, ada benarnya pegawai ku berkata demikian..marah-marah pun, aku tetap akan melaksanakan tugas ku. Bukan nak memuji diri sendiri, tetapi memang inilah hakikatnya, sudah menjadi tabiat ku semenjak di bangku sekolah lagi. Aku tidak suka melengah-lengahkan kerja. Aku juga sukar untuk menolak kerja. Entahlah, mungkin juga kerana aku memegang prinsip 'Bila kerja, kita kerja betul-betul..bila main, kita main..bila relax, kita relax.'..

Alahai...