Wednesday, September 23, 2009

Orienteering

12hb Sept 2009

Pembelajaran orienteering bermula. Pensyarah yang dikasihi mengajar kami tentang apa itu orienteering dan bagaimana hendak menggunakan kompas. Maklumlah, kami bukannya tahu sangat bab penggunaan kompas ni. Contohnya seperti aku..dah la terlajak ke UiTM Shah Alam..akhirnya sedikit masa aku telah terbuang begitu sahaja. Masuk je dalam kelas di Maktab PDRM, Cheras..rakan2 sekelas dan pensyarah tersenyum. Takpe la..yang penting sampai.

Sebaik sahaja menjejakkan kaki ke dalam kelas orienteering, tanpa membuang masa aku terus mengambil tempat duduk dan mendengar taklimat dan pengajaran yang disampaikan oleh pensyarah. pada mulanya, aku agak keliru kerana tidak tahu menggunakan kompas yang diberikan oleh pensyarah. Bukan aku sahaja, malah rakan2 lain pun begitu juga. Namun, kami cuba untuk belajar dan memahami tentang konsep dan penggunaan kompas tersebut. Bermula dari membuat orienteering diatas meja, satu persatu kami diajar sehinggalah kami dapat memahami tentang penggunaan kompas dan orienteering. Pada mulanya, aku seperti bosan kerana tidak memahami bagaimana menggunakan kompas tersebut tetapi berkat tunjuk ajar oleh rakan2 lain yang telahpun memahami penggunaannya dan juga tunjuk ajar yang berulang-ulang oleh pensyarah, akhirnya aku dapat mempelajari cara2 penggunaan kompas dan orienteering tersebut. Rasa seronok la pula..

Selepas kami mempelajari mengenai orienteering dan penggunaan kompas tersebut, kami membuat orienteering pula di kawasan maktab PDRM. Kami dibahagikan kepada beberapa kumpulan mengikut kumpulan asal semasa di Pulau Kapas, Terengganu baru2 ini. Sebaik sahaja bermula, kumpulan aku yang terdiri daripada Kak Zarina dan Wan memulakan orienteering. Begitu juga dengan kumpulan2 yang lain. Selesai sahaja, kami berkumpul semula dan kami diminta untuk mencari 'jalan' dan orienteering dari kumpulan yang lain, begitu juga mereka. Apa lagi, tanpa membuang masa kami bertiga berlari-lari anak mencari orienteering. Berkat usaha dan kesungguhan kami, kami berjaya menamatkan orienteering dalam tempoh 25 minit. Malah, kami menjadi kumpulan yang pertama berjaya menamatkan oreinteering tersebut. Walaupun penat sedikit, tetapi kami berpuas hati. Ada kumpulan yang lain juga berjaya menamatkan pencarian mereka, ada juga satu kumpulan tersebut tidak berjaya kerana kesilapan teknikal yang dilakukan oleh kumpulan yang lain. Namun demikian, secara keseluruhan kumpulan dapat melakukan oreinteering dan sekurang-kurangnya memperolehi ilmu. Aku gembira kerana dapat mempelajari sesuatu yang baru. Aku percaya begitu juga rakan2 yang lain. Apa yang penting, kami memperolehi pengalaman baru. Aku tidak sabar lagi untuk melakukan orienteering dan berharap sangat agar dapat mempelajarinya secara meluas dan mendalam lagi..

Tuesday, September 8, 2009

05hb Sept 2009 @ 1030Hrs

Masa berlalu dengan pantas, seorang demi seorang rakan ku melakukan abseiling. Ada yang macam tak sabar nak turun, ada yang macam dah hilang akal (senyum sorang2), ada yang berpeluh tiba-tiba walaupun cuaca masa tu tak la begitu panas..macam-macam gelagat yang boleh dilihat. Setiap kali mereka melakukan abseiling, aku akan cuba untuk melihat macammana keadaan mereka. Aisyehman..ada yang 'steady' semasa turun walaupun pada awalnya nampak kekok. Ada pula yang 'terhuyug-hayang' dan terpaksa berhenti selang beberapa minit. Melihat keadaan mereka, aku menjadi gelisah kerana memikirkan bagaimana keadaan aku semasa melakukan abseiling nanti.

Tidak lama selepas itu, tibalah giliran aku melakukan abseiling. pada mulanya rasa kecut perut semasa memakai alat-alat keselamatan dan tali pula diikat dikeliling pinggangku. Terus-terang aku katakan yang aku agak gementar kerana inilah kali pertama aku melakukan abseiling. Aku cuba menenangkan fikiran dengan tidak memikirkan perkara-perkara negatif. Sesekali aku cuba membuat lawak dengan rakan-rakanku. Sebaik sahaja memanjat ke luar dan bersedia untuk melakukan abseiling, aku cuba untuk bertenang dan sempat berdoa agar aku mendapat kekuatan semasa melakukan aktiviti-aktiviti seperti ini. Sebaik sahaja melaporkan kepada rakan-rakan di tingkat bawah yang sedia menunggu aku, aku menarik nafas dan aku pun memulakan aktiviti abseiling dengan perlahan-lahan. Pada mulanya, aku agak kaku sedikit semasa mahu turun tetapi lama-kelamaan aku rasa seronok dan rasa gementar hilang sedikit demi sedikit. Namun, apabila aku sampai ke satu tahap, kedudukan aku mula goyah ke kiri dan ke kanan. Sekali lagi aku terkejut dan mula risau semula. Aku cuba untuk bertenang dan pada masa yang sama, kedengaran suara adik-adik pelajar full-time FSR serta pensyarah dan juga yang lain-lain memberikan semangat dan tunjuk ajar. Melihat kesungguhan mereka dalam memastikan keselamatan aku dan membantu aku, aku nekad untuk terus turun walaupun secara perlahan-lahan.

Sebaik sahaja tiba di tingkat bawah, aku disambut oleh rakan-rakan yang telah sedia menunggu aku. Tanpa segan silu, aku terus duduk di lantai kerana rasa seperti 'penat'. Namun demikian, aku tersenyum puas kerana berjaya melakukan abseiling buat kali pertama. Setelah berjaya melakukan aktiviti abseiling ini, aku berasa seperti mahu melakukannya sekali lagi tetapi keadaan tidak mengizinkan kerana aku sakit kepala, tetapi aku saja2 buat bodoh seolah-olah sihat dan tidak mengendahkannya. Ye la, kalau aku ikutkan rasa sakit kepala aku, tak berpeluang la aku nak melakukan abseiling ni. Tentu rasa rugi..

Sesungguhnya pengalaman abseiling ini tidak akan aku lupakan buat selamanya dan terus-terang aku katakan yang aku sudah mula minat dalam aktiviti seperti ini. Tentunya membawa keseronokan dan kepuasan diri. Aku tidak mahu kelemahan menjadi penghalang untuk aku melakukan aktiviti lasak dan ekstrem seperti ini.

Saturday, September 5, 2009

Tingginya bangunan...

05hb Sept 2009 @ 0800hrs

Mak ai!! Tingginya bangunan..aktiviti abseiling bermula seawal jam 8.00pagi sedangkan aku telah sampai di UiTM awal sebelum itu. Apa tidaknya, aku tidak dapat tidur gara-gara asyik teringat tentang aktiviti abseiling ini. Semua pelajar PLK-PDRM termasuk dua pelajar ePJJ turut serta dalam menjayakan aktiviti ini. Kami dikehendaki melakukan abseiling dari tingkat 11 bangunan Fakulti Kejuruteraan Awam. Sebaik sahaja tiba diatas, beberapa orang pelajar full-time FSSR juga berada di tingkat 11. Mereka ini datang sebagai pembantu pensyarah bagi melakukan aktiviti abseiling tersebut. Sempat juga la aku dan kawan-kawan menjenguk ke bawah dan...GLUPP!! Tingginya nak buat abseiling ni, kata aku di dalam hati. Melihat riak wajah masing-masing, ternyata ramai diantara kami juga agak gementar. Maklumlah, ini kali pertama kami melakukan abseiling.

Sebelum meneruskan abseiling tersebut, pensyarah kami yang dikasihi iaitu En. Hisham memberi taklimat mengenai peralatan-peralatan yang akan digunakan semasa melakukan aktiviti tersebut. Para pelajar full-time juga kelihatan sibuk menyiapkan peralatan-peralatan yang lain terutamanya tali-tali untuk digunakan nanti. Selepas itu, kami melakukan senaman strecthing sebelum memulakan abseiling. Pada masa itu, aku berfikir macammana la nak turun nanti. Dapat kah aku melakukannya? Macam-macam persoalan bermain di fikiran aku pada masa itu. Seram sejuk, sakit kepala tiba-tiba..semua ada. Apabila melihat salah seorang pelajar full-time membuat demo abseiling, kami ramai-ramai terus melihat cara-cara beliau melakukan abseiling tersebut. Pada masa itu, aku agak tergamam seketika melihat pelajar sekecil itu dengan selambanya memanjat besi dan terus berada di tengah-tengah 'badan' bangunan, bersedia untuk turun. Malah beliau sempat senyum sebelum meneruskan aktiviti extrem ini. Pada mulanya aku agak seronok melihatnya melakukan abseiling tanpa sebarang masalah tetapi di saat beliau mula 'bergoyang' ke kiri dan ke kanan, membuatkan aku tergamam lagi.' Alamak, habislah kali ini. Ni confirm aku lagi teruk nanti.' kataku dalam hati. Mana kan tidak, aku pun badan kecil juga. Tentu aku juga akan bergoyang jauh lagi teruk darinya kerana aku tidak mempunyai sebarang pengalaman! Alahai, habis la..habis la..

Melihat rakan-rakanku turun seorang demi seorang, aku pula mengambil masa untuk menenangkan fikiran. Bukan apa, aku terkejut dan melihat keadaan dan reaksi mereka yang pelbagai membuatkan aku berfikir..adakah aku akan selamat?? Walaupun pensyarah telah meyakinkan kami bahawa aktiviti abseiling ini selamat dilakukan kerana dipantau dan dibantu oleh para pelajar full-time yang berpengalaman, tetapi aku tetap tidak senang duduk. Aku tidak pernah berkeadaan sebegini walaupun pada waktu kecil dulu, aku begitu aktif dan lasak bermain panjat-panjat pokok dengan sepupu-sepupu lelaki. Aku melihat setiap wajah rakan-rakan ku, rata-rata kami telah menunjukkan perasaan gemuruh kami kepada pensyarah dan para pelajar full-time yang lain. Ye la, tengok muka mereka pun dah tersenyum-senyum melihat gelagat kami, lebih-lebih lagi rakan kami Mala lagi gemuruh. Apa lagi, macam-macam perangai dia buat termasuk la lawak bodoh..saja nak menceriakan suasana. Aku faham perasaan tu..hehehe..Alahai, bila la tiba giliran aku ni..

(bersambung...)

Tak Keruan...

Tidur tak lena, makan banyak, baca nota tak masuk kepala, tengok tv hati tak senang. Itulah yang terjadi pada diri ku pada pagi ini. Bayangkan la sehingga jarum jam menunjukkan 5.30 pagi, aku masih gagal melelapkan mata. Minum air milo berulang kali pun mata ku tetap segar. Apa taknya, asyik teringat pasal abseiling..hahaha..

Oleh kerana aku tidak dapat tidur, aku melayari internet dan mencari maklumat lanjut mengenai abseiling. Dalam kekhusyukan aku membaca artikel mengenai abseiling, sesekali aku rasa sudah tidak sabar mahu melakukannya..dan sesekali aku menjadi tiba-tiba seram kerana tahap keselamatan abseiling. Bukan mahu mempertikaikannya, tetapi macam-macam yang telah aku bayangkan. Apakah perasaan nanti semasa melakukan aktiviti abseiling ini nanti?? Apakah yang akan terjadi? Selamat kah aku? Boleh kah aku melakukannya??...Aduh, macam-macam persoalan yang timbul. Semakin aku memikirkan dari sudut positif, aku pasti akan tersenyum tetapi apabila aku memikirkan dari sudut negatif, aku mula susah hati. Aduh, apa nak buat ni?? Sehingga jam menunjukkan 6.30pagi, aku masih lagi tidak tidur tetapi sudah ada tanda-tanda mengantuk pula. Aisey, mana boleh tidur? Kan kena pergi abseiling..Alamak!! Masanya telah tiba..lalu aku terus pergi mandi untuk menyegarkan badan. Selepas bersiap, aku melangkah keluar dari rumah dan menuju ke sebuah kedai restoran mamak yang terletak tidak jauh dari rumahku untuk bersarapan pagi. Tepat jam 7.30pagi, aku telahpun berada di UiTM dan sempat melelapkan mata untuk seketika. Tidak lama selepas itu, aku bersama-sama dengan rakan-rakan PLK-PDRM yang telah berkumpul bersama menuju ke tingkat 11 bangunan Fakulti Kejuruteraan Awam untuk memulakan pengalaman kami dalam dunia abseiling! Alahai..

Wednesday, September 2, 2009

Hari yang 'panas'

Rasa nak lempang je...!!!

Kenapa la nasib aku begini?? dapat kawan yang tak kenang budi..!! Waktu susah mencari, siap merayu minta bantuan sampaikan air mata mengalir keluar. Buat perangai tak ingat dunia tapi bila susah mula gelabah tak tentu arah. Setiap kali masalah datang, aku dijadikan tempat mengadu. Oleh kerana tidak sanggup melihat keadaan dirinya, aku berusaha membantunya setakat yang termampu. Demi persahabatan, aku rela bersusah-payah untuk membantu walaupun ia mendatangkan risiko kepada diri sendiri. Dari masalah kecil sehingga la masalah besar, aku menjadi tonggak penyelesaian masalah. Susah senang kami harungi bersama. Syukur kepada Tuhan, aku mampu dan dapat menyelesaikan masalahnya dan mengembalikan senyuman.

Bagaikan melepaskan anjing tersepit lalu menggigit kita, aku menjadi begitu terkilan. Teramat terkilan dengan perangainya yang berubah. Perasaan sedih, marah, geram..macam-macam lagi perasaanku kini. Sahabat ini mula menengking, memaki hamun dan membuat perangai yang menyakitkan hati. Tidak cukup dengan penghinaan, siap menuduh yang bukan-bukan. Hati mana tidak sakit apabila disindir dengan ayat-ayat ini, "Setakat belajar Diploma Sains Sukan bukan boleh pi mana. Jangan harap la kau boleh berjaya..orang macam ko ni lebih layak mati awal!"..Panas..memang panas. Bukan setakat panas telinga, tetapi hati pun membara. Pada mulanya aku mendiamkan diri, kerana tidak mahu mengeruhkan keadaan. Namun, dia tetap terus memaki hamun dan menghina ku, menyebabkan aku mula hilang sabar..lalu aku mula meninggikan suara kerana sudah tidak tahan mendengar cemuhannya. "Apa?! Kau ingat kau hebat?! Kau lupa siapa diri kau?! Mak bapak tak ajar erti hormat?! Kau lupa siapa tolong kau masa kau susah dulu??!!"..memang aku dah nekad kali ni..aku tak boleh membiarkan orang sepertinya menghina aku..Marah, cukup marah!! Dia terus menghina dan menghina, malah berani memaki hamun keluarga ku termasuklah menggelarkan keluarga ku 'Bodoh'..Kurang ajar!!...

Kalau keluargaku bodoh, masing-masing tidak akan mempunyai karier tetap, tak akan mempunyai pendidikan. Bukan nak bermegah atau meninggi diri..tapi aku cukup menghormati keluargaku. Keluargaku bermula dari bawah. Kami telah melalui keperitan hidup, kami pernah lalui kehidupan susah. Contoh terbaik dalam keluarga, kakak sulung ku dahulunya begitu susah untuk melanjutkan pelajaran. Berkat usahanya, beliau berjaya ke luar negara untuk melanjutkan pelajaran. Namun, hidup di perantauan bukannya mudah. Hati kami sedih apabila mendapat tahu beliau sanggup bekerja part-time di sebuah pasaraya, semata-mata mahu menolong keluarga. Berapa sangatlah duit biasiswa yang diterimanya? Namun akhirnya, usahanya berbaloi..beliau balik ke tanah air bersama keluarga dengan segulung ijazah. Tidak cukup dengan itu, beliau ditawarkan pekerjaan oleh kerajaan negeri. Kini, beliau mampu tersenyum kerana hidup berkerjaya dan senang tetapi beliau tidak lupa akan keluarganya dan masih bersikap seperti dahulu, malah sehingga coretan ini ditulis, beliau masih tidak jemu melanjutkan pelajaran yang lebih tinggi lagi. Aku bangga kerana mempunyai kakak sepertinya. Itu baru satu contoh dalam keluargaku..

Kami juga tidak pernah diajar menghina, apatah lagi menghina keluarga orang lain. Tapi kami juga tidak mahu dihina. Kami ada maruah. Aku sentiasa ingat semua itu, tetapi kali ini aku tidak boleh lagi berdiam diri..orang yang menghina atau mengganggu keluargaku, bermakna dia mencari masalah. Aku mempertahankan maruah keluargaku. Pada saat itu, badanku mula menggigil. Bukan kerana kesejukan tetapi aku menahan marah. Aku tidak suka bila diriku menjadi marah. Apa boleh buat, bukan aku yang minta untuk menjadi marah. Aku memberi amaran kepadanya tetapi dia terus-menerus memaki hamun tanpa melihat keadaan sekeliling.

"Kau bangsat boleh pi mampus dengan diploma bodoh kau tu..", sekali lagi aku tersentak dan degupan jantung dirasai begitu cepat. Pada masa itu, aku sudah hilang sabar sama sekali dan bertindak menghampirinya. Melihat kejadian itu, tiga orang rakanku yang lain terus menghalang dan menarik aku daripada mendekatinya. Aku nekad, aku nak bagi dia se'dass'..biar dia sedar betapa sakitnya hatiku kerana perangai setannya itu. Tidak cukup dengan itu, dia sempat mengugut akan melakukan apa saja keatas diriku..teruskan..!! Aku tak takut. Nak buat apa buat la, yang membalas perbuatannya itu nanti adalah Tuhan. Menyedari aku hilang kawalan, rakan-rakanku memegangku erat, tidak mahu aku terlepas..si pengecut pula melarikan diri sambil sempat memaki hamun..

Aku menyesal..sungguh menyesal..menyesal kerana tersilap pilih kawan. Kawan makan kawan, kacang lupakan kulit..istilah-istilah ini cukup sesuai untuk orang sepertinya. Kenapa aku ditemukan dengan orang seperti ini?? Kenapa?? Kenapa?? Ya Tuhan, tolonglah..aku perlukan kawan yang sejati. Kawan yang hormat akan erti persahabatan..bukan kawan perangai mengalahkan setan..sememangnya hati aku amat terguris yang teramat sangat...

Tuesday, September 1, 2009

'Righteous'










Menarik..sungguh menarik...

Membaca setiap blog yang dihasilkan oleh member-member FSSR termasuk ePJJ dan PLK-PDRM menunjukkan betapa hebatnya mereka dalam menghasilkan nukilan dan penulisan. Tidak lupa juga penasihat utama bagi blog tersebut yang begitu hebat dalam penulisan. Istimewa dan mempunyai cara yang tersendiri. Selain daripada cerita mengenai rekreasi, segala luahan hati, pengalaman dalam diri, kerjaya malah mengenai keluarga juga diceritakan di dalam blog warga FSSR. Apabila diamati dan dibaca, sebenarnya ianya menarik perhatian dan seolah-olah memberikan kita suatu cerita yang mahu dikongsi bersama. Namun, di dalam keghairahan menulis blog, ada juga yang meluahkan perasaan seolah-olah 'sedih' dan ketidakpuasan hatinya terhadap blogger yang lain. Mengapa? Setelah diamati dan dianalisis semula, ternyata ia berpunca daripada satu teguran yang diberikan oleh seseorang yang penting. Tidak dinafikan, setelah diberi nasihat, ternyata banyak blog telah dikemaskinikan. Malah, ada yang menghasilkan blog yang berwarna-warni dan menarik. Diluar jangkaan..

Sesuai dengan luahan hatinya, ada baiknya si penulis blog yang dimaksudkan ini dikenali dengan nama samaran 'Mr. Feel'. Mr.Feel menyedari akan penulis-penulis blogger FSSR mula 'rajin' mengemaskinikan blog masing-masing kerana dua angka dan satu simbol iaitu angka 15 dan simbol %. Dalam penulisannya, ternyata si penulis agak 'kecewa' dengan blog rakan-rakannya dimana beliau merasakan blog yang dibacanya dahulu menarik kini bertukar menjadi 'tragedi'. Kejujuran dalam penulisan blog dipersoalkan dan dipinta dengan rendah hati. Sungguh mulia. Bukan bermaksud merendahkan sesiapa, atau menyakiti hati tetapi hanya kejujuran yang dipersoalkan oleh si penulis blog. Jelas sekali kekecewaannya terhadap penulisan blog yng dihasilkan oleh teman-teman seperjuangan yang lain. Namun demikian, dalam meluahkan perasaan 'kecewa'nya itu, beliau terlupa untuk menilai semasa membaca setiap penulisan di setiap blog yang dikunjunginya. Di dalam blog masing-masing, seperti yang dikatakan dari awal tadi, para penulis menulis blog mereka berdasarkan pengalaman, luahan hati dan macam-macam lagi terutamanya berkaitan dengan rekreasi. Ada yang menulis blog mengenai keluarganya sebagai sebahagian daripada isi kandungan blog tersebut, tidak kurang ada juga yang menulis syair, pantun, lirik lagu. Yang penting, cerita mengenai rekreasi mesti ada di dalam setiap blog. Melihat akan keadaan in, apakah si penulis menyedari akan penulisan yang dihasilkan oleh setiap blogger FSSR ini bermula dari luahan hati mereka?? Tidakkah si penulis menyedari bahawa penasihat utama di dalam blog FSSR ini juga melakukan perkara yang sama??

Jangan salahkan Mr. Feel. Beliau tidak bersalah. Beliau juga insan biasa seperti kita semua. Kata-katanya itu ada kebenarannya dan ada kesilapannya. Benar kerana beliau menyedari sebahagian blog rakan-rakannya yang sebelum ini tidak dikemaskinikan, kini menampakkan 'hasil' (secara mendadak). Silap kerana beliau tidak menyusuri blog-blog tersebut secara teliti. Blog penasihat utama dibaca tetapi tidak 'diperhatikan' atau difahami secara menyeluruh. Jika beliau berbuat demikian, aku percaya beliau pasti dapat menilai akan isi kandungan yang tersurat dan tersirat di dalam blog penasihat utama, seterusnya dapat menilai dan 'melihat' akan kejujuran penulis-penulis blog yang lain dalam menghasilkan penulisan mereka masing-masing. Walau apa pun, sifat yang ada di dalam diri Mr. Feel harus dipuji kerana berjaya 'membuka' mata dan minda, bukan sekadar cerita yang direka, tetapi kejujuran dan kebenaran yang dipinta. Bukan semua yang berani untuk membuat 'permintaan' sebegitu, tetapi itulah hakikat yang perlu kita terima dengan hati yang terbuka dan minda yang positif.

Akhir sekali, pohon kemaafan jika ada yang terkasar bahasa, tersalah kata atau tersinggung. Bukan niat untuk melukakan hati dan perasaan atau merendahkan sesiapa, sekadar untuk berkongsi pandangan dan pemikiran yang terbina.

Kepada semua penulis-penulis yang dikasihi, seperti kata-kata Mr. Feel..kejujuran adalah penting dalam penulisan anda semua. Kejujuran melambangkan diri anda sendiri..

Kepada Mr. Feel, bak kata pepatah orang putih, 'Don't judge a book by its cover.' ..

Kepada semua (termasuk Mr. Feel), 'The righteous eat to their hearts' content, but the stomach of the wicked goes hungry'..

Salam hormat..


"Apasal kulit gelap semacam ni?" tanya seorang pegawai ku apabila terserempak di pejabat. "Berenang dalam laut, tuan" jawab ku spontan. Lalu dia memandangku sambil berkerut dahi. "Berenang dalam laut? Kat mana?" beliau bertanya lagi. 'Pulau Kapas, Terengganu", jawab ku pendek. "Jauhnya, bercuti ke kursus?" Sekali lagi beliau bertanya. "Recreation tuan. Salah satu subjek Sains Sukan yang saya belajar sekarang ni." jawabku lagi. "Oh, macam seronok je. Banyak juga aktiviti u ye, patutla i perasan u selalu takde sekarang ni. Bila i tanya yang lain u pi mana, diorang kata u kursus." Katanya. Aku menjadi tidak sedap hati kerana mendengar kata-katanya itu lalu aku bertanya kenapa beliau mencari aku. Rupa-rupanya beliau perlukan bantuan untuk tugas-tugas tertentu. Aik, kenapa la aku sering dicari. Bukan aku mahu menolak kerja tetapi aku berasa pelik. Setiap kali ada tugasan penting atau memerlukan tugas itu dilaksanakan dengan kadar segera, pasti aku yang dicari. Tanpa segan silu, aku terus bertanya kepadanya, "Ada masalah ke tuan? Kan ada yang lain boleh bantu." Dengan selambanya pegawai ku berkata, "Ada memang ada, masalahnya bila i call atau suruh diorang, takde sorang pun yang nak datang tolong. Macam-macam alasan..sakitlah, ada hal la, tak reti nak buat la, macam-macam. Kalau datang pun buat muka masam, buat keja ala kadar. Kalau u, senang..call je u datang. Tak banyak songeh. U marah pun tapi u buat. Keja complete".

"Cheh, nie memuji ke mengampu nie?", aku berkata dalam hati. 'Tapi tuan, tuan harus faham dan panggil diorang dalam mesyuarat. Kena bagitau la. Keluarkan satu arahan tetap dan buat satu fail kerja. Bagi tugasan masing-masing. Tak pun buat rolling kerja. At least takde la yang curi tulang. Takkan saya je yang kena buat, kalau saya dah takde besok kat sini, keja tempat lain ke atau meninggal dunia ke, takkan tuan sanggup cari saya jauh-jauh? Takkan nak korek kubur saya, tuan? Kalau bangun dari kubur, belum tentu tuan nak sembang dengan saya, kut-kut tuan lari lintang-pukang." kata ku kepadanya. Mendengar penjelasan aku itu, pegawai ku hanya tersenyum sambil berkata," Tau, i pun faham. Kalau i di tempat u, i pun cakap gitu..tapi setakat ni u je yang boleh tolong..bila i tanya yang lain, semua rujuk nama u. Takpe la, at least keja u bagi u advantage dalam kerja. . Lagipun i suka cara u, u tetap dengan pendirian u. Hati U keras, tapi U baik. Hampir semua u tahu buat, i pun tak heran kalau semua rujuk kat U. U sebenarnya untung, sebab banyak pengalaman keja u dapat sebab u tak pilih keja. Orang respect kat u. Orang lain tak boleh kelentong u. Jangan ambil hati ye."

"Respect, respect gak tuan. Keja tu memang keja, tapi bila saya jatuh sakit, sebab terlalu keja takde siapa yang ambil tau..sakit hati juga tuan. Tuan jangan tak tahu, dalam diam2 pun ada yang tak puas hati kat saya. Saya tak kacau orang, tapi orang suka kacau saya. Bila saya ambil tindakan, kata saya tegas la, tak berhati perutlah, itu la, ini la. Walhal yang menjadi mangsa saya. Masa susah, semua cari saya..tapi bila dah senang, semua lari. Saya pun ada perasaan, tau bersabar tau marah. Bersabar lama-lama pun, tiba masanya meletup gak." Habis semua aku luahkan kepada pegawaiku. Melihat riak wajah ku yang sudah berubah, beliau memujukku dan menasihati aku supaya bersabar banyak-banyak. Beliau meminta maaf kerana menyinggung perasaan ku. Aku bukan marah kepadanya, tetapi sekadar meluahkan apa yang tersimpan di dalam hati. Bila ku fikirkan balik, ada benarnya pegawai ku berkata demikian..marah-marah pun, aku tetap akan melaksanakan tugas ku. Bukan nak memuji diri sendiri, tetapi memang inilah hakikatnya, sudah menjadi tabiat ku semenjak di bangku sekolah lagi. Aku tidak suka melengah-lengahkan kerja. Aku juga sukar untuk menolak kerja. Entahlah, mungkin juga kerana aku memegang prinsip 'Bila kerja, kita kerja betul-betul..bila main, kita main..bila relax, kita relax.'..

Alahai...