Monday, October 19, 2009

Nombor Tuah Yang Tidak Bertuah

13hb-15hb Oktober 2009
PERTANDINGAN OLAHRAGA DAN TARIK TALI PIALA KP SELANGOR 2009.

Setelah begitu sekian lama aku meninggalkan sukan olahraga hampir 18 tahun, aku mengambil keputusan untuk bergiat aktif semula dalam sukan tersebut. Itupun setelah seorang rakan sekerja aku bertanyakan kepadaku samada aku berminat untuk mewakili IPD dalam acara olahraga. Setelah berfikir beberapa seketika, aku bersetuju menyertai olahraga dalam acara 100m dan 4x100m. Hanya untuk suka2 dan mahu melepaskan rasa tekanan.

Namun demikian, aku tidak mempunyai masa yang cukup untuk melakukan latihan. Acara bermula pada 13hb Oktober 2009 sedangkan aku dimaklumkan seminggu sebelum pertandingan bermula. Sempatkah aku melakukan latihan? Melihat kepada jadualku yang padat, aku sememangnya tidak mempunyai ruang masa yang cukup untuk melakukan latihan. Aku berserah sahaja kepada Tuhan. Kalah menang perkara biasa. Itu yang bermain di fikiranku.

13hb-14hb Oktober 2009, pertandingan bermula dengan acara tarik tali. Oleh kerana acara olahraga hanya berlangsung pada 15hb Oktober 2009, aku masih tidak melakukan apa2 persiapan untuk acara yang akan aku sertai nanti, kecuali membeli kasut spike bernilai RM89.90 dan sehelai seluar sukan tight bernilai RM117/-. Pergh! Mengalahkan ahli sukan la pula. Bukan sengaja nak beli mahal tapi dah malas nak berjalan jauh mencari merata-rata tempat. Beli je apa yang ada di depan mata. 'Menangis' gak hati ni nak keluarkan duit semata2 nak membeli hanya sepasang kasut dan sehelai seluar tight je. Sukan punya pasal. hari yang ditunggu-tunggukan telah tiba, 15hb Oktober 2009 tarikh bersejarah bagiku kerana akan melakukan larian 100m dan 4x100m yang telah sekian lama ditinggalkan dan tanpa sebarang latihan. Aku diberikan nombor 111. "Nombor bertuah tu", kata beberapa orang kepadaku. Aku hanya tersenyum. Apa yang bertuahnya? Bukannya aku ada latihan pun. Takpe la.

'Ke garisan, mula..' BANG!! Bunyi tembakan dilepaskan. Seramai lapan orang peserta termasuk aku terus lari menuju ke depan. Aku dan salah seorang pelari bersaing sesama sendiri bagi merebutkan tempat pertama, manakala yang lain jauh ketinggalan di belakang. Alahai..namun, sebaik menghampiri di garisan penamat, aku tiba-tiba terjatuh dan tergolek. Aduh! Sakit bukan main. Aku cuba berdiri tetapi kaki ku terasa amat sakit lalu aku melihat lututku rupa-rupanya telah terluka dan berdarah. Lalu aku biarkan sahaja para pelari yang lain menamatkan larian mereka. Dengan bantuan beberapa anggota pertahanan awam, aku dipapah dan dirawat. Aku agak bengang apabila beberapa orang datang ke arahku dan bertanya kenapa tak merangkak untuk sampai ke garisan penamat. Aku dah la kesakitan, itu pula yang ditanya. Rasa macam nak lempang je. Aku diam sambil menahan kesakitan. Tidak kurang juga ada yang datang untuk bertanyakan bagaimana keadaan aku. Terima kasih, ada juga yang ambil berat.

Rupa2nya pingat yang ku dapat 'terlekat' di lutut. Apa taknya, luka sebesar pingat dan darah mengalir keluar. Geram dan terkilan, bukan kerana kalah tetapi saat kemenangan itu hilang begitu sahaja gara2 terjatuh dan tergolek betul2 di depan garisan penamat. Nampak gayanya nombor bertuah aku itu tidak membawa tuah kepadaku. Takpe la, aku menganggap ini sebagai pengalaman yang tidak akan aku lupakan. Hidup Sukan!!

No comments:

Post a Comment