Saturday, August 22, 2009

Salam sejahtera..
Nie saja nak kongsi cerita, buat tatapan semua..

21hb Ogos 2009 tarikh istimewa buat diriku. Maklumlah, pada tarikh ini umurku genap 31 tahun. Aduhai, cepatnya masa berlalu. Umur pun semakin meningkat. Tidak ku sangka bahawa umur ku telah melepasi era umur 20-an. Tapi takpe la, itu tidak penting. Yang penting bersyukur kepada Tuhan kerana memanjangkan umurku. Bak kata pepatah 'orang putih' "ALWAYS FEEL YOUNG AT HEART BECAUSE AGE IS JUST A NUMBER"..

Apabila ku fikirkan semula, sudah 10 tahun aku 'meraikan' harijadiku di negeri orang. Sebenarnya aku tidak pernah meraikan harijadiku semenjak kecil lagi. Aku hanya meraikan harijadi ku sekali sahaja ketika umurku 9 tahun. Itupun kerana ibuku seperti menunaikan permintaan ku. Aku masih ingat lagi ketika masa itu ibuku menangis apabila tiba-tiba aku bertanyakan kepadanya mengapa kami adik-beradik tidak pernah merasakan suasana harijadi seperti kawan-kawan yang lain. Sebenarnya kami tidak pernah menyalahkan atau marah kedua-dua orang tua kami kerana kami memahami kerjaya ibubapa kami yang sentiasa sibuk mencari nafkah demi kami semua. Sehingga ke hari ini, adakalanya aku terasa bersalah kerana menyebabkan ibuku menangis hanya kerana menanyakan soalan sedemikian dan aku tidak lagi pernah mengeluarkan soalan-soalan yang aku rasakan boleh menyinggung perasaan kedua-dua orang tuaku kerana aku tidak sanggup melihat kesedihan mereka.

Pada tarikh ini (21hb Ogos 2009) tepat jam 0001hrs aku terus pergi mandi. Ini adalah suatu kebiasaanku semenjak kecil lagi. Aku rasa lega dan segar setelah mandi. Oleh kerana belum dapat melelapkan mata, aku melayari internet FB. Ucapan 'Selamat Harijadi' oleh keluarga, saudara-mara dan rakan-rakan FB membuatkan aku tersenyum gembira. Tidak kurang juga ada yang mendoakan kesejahteraan ku. Terima kasih semua. Aku melayari internet hampir 3 jam sebelum masuk tidur kerana sudah mula terasa mengantuk. Pada jam lebih kurang 8 pagi, bunyi SMS dari telefon bimbit mengejutkan aku dari tidur, lalu aku bangun dan membacanya. Kakak ku iaitu anak kedua dalam adik-beradik mengucapkan 'Selamat Harijadi' kepada ku. Aku tersenyum tanpa gembira. Tidak lama kemudian, kakak ke yang keempat pula menelefonku dan diikuti oleh kakak ketiga dan seterusnya ibuku. Agak menggelikan hati apabila ibuku memberi soalan cepuk emas "bila nak kahwin, dah ada calon ke?"..La, ke situ pula. Aku mengusik ibu dan kami gelak bersama-sama. Kedengaran suaranya seperti merindui ku. Aku cuba mengembirakannya walaupun hakikatnya ada kalanya aku berasa sedih kerana berjauhan dari keluarga. Selepas berbual agak panjang dengan ibuku, adik lelaki pula menelefon dan menyanyikan lagu "Happy Birthday" dengan suara kartunnya itu. Adikku memang seorang penghibur. Cuma kakak sulung dan bapa ku saja yang tidak menghubungi dan mengucapkan Selamat Harijadi kepada ku. Pada mulanya aku agak terkilan tetapi apabila difikirkan semula, aku memahami kesibukan mereka. Aku tak salahkan mereka.

Selepas bersarapan pagi, aku mengambil keputusan untuk berjalan-jalan dan menenangkan fikiran. Pada mulanya aku mahu menunggang motosikal kesayanganku tetapi menyedari keadaan cuaca yang tidak mengizinkan (seperti ada tanda-tanda mahu hujan), aku mengambil keputusan untuk memandu kereta sahaja. Aku kemudian memandu kereta kesayanganku di sekitar Klang, Shah Alam dan sehinggalah ke Seri Kembangan. Aku sebenarnya tidak tahu mahu ke mana lalu aku menghubungi ibuku, saja nak melepaskan bosan. Ibuku kemudian memberi idea dengan menyuruh aku pergi bergambar sempena umurku yang ke 31 tahun, sebagai kenangan katanya. Tanpa membuang masa, aku terus menuju ke kedai gambar dan mengambil gambar. Aku tersenyum puas setelah bergambar kerana bagiku ia secara tidak langsung adalah 'hadiah harijadi' dari ibuku (kerana telah memberikan idea yang bernas, thanks mum!). Selepas itu, aku meneruskan lagi perjalanan sehinggalah menjelang petang, barulah aku balik semula ke rumah. Oleh kerana tidak tahu nak buat apa, aku menghubungi beberapa orang rakan kerana ingin mengajak mereka makan malam sempena harijadiku. Alangkah hampanya apabila kesemua mereka telah mempunyai rancangan yang lain. Namun demikian, aku faham dan tidak menyalahkan mereka. Lagipun, aku tidak membuat sebarang perancangan. Terus tangkap muat je ajak makan. Oleh kerana bersendirian, aku keluar semula dan terus ke sebuah kedai kek dan membeli 1 cupcake yang kecil. Aku memakan cupcake tersebut dengan sekali ngap sahaja. Maklumlah, cupcake kan kecil je. Aku menganggapnya sebagai kek harijadiku yang paling 'cute' sekali. Selepas itu, aku balik semula ke rumah dan berehat.

Selamat Harijadi buat diriku yang ke 31 tahun..

5 comments: