Saturday, August 29, 2009

“MUKA CINA TAPI SAYA BUKAN CINA, NAMA MELAYU TAPI SAYA BUKAN MELAYU..”

Inilah ungkapan yang sering aku gunakan setiap kali jika ditanya samada aku ni orang Cina atau orang Melayu..


Ungkapan ini telah lama aku gunakan semenjak di bangku sekolah lagi. Apa taknya, setiap kali aku ke kedai atau ke mana sahaja, pasti ada yang bertanya samada aku berbangsa Cina atau tidak dan setiap kali itu jugalah apabila aku beritahu bahawa aku bukan Cina, soalan seterusnya pasti berbunyi seperti ini, “Oh, awak bukan Cina? So awak Melayu la..?” Sekali lagi aku terpaksa beritahu yang aku juga bukannya orang Melayu dan apabila mendapat jawapan sebegini, pasti ada yang berkerut dahi. Malah, jika aku menyebut namaku, sekali lagi aku akan dianggap Melayu. Ini kerana namaku yang berbunyi seperti nama orang Melayu, walaupun nama ini sebenarnya juga digunakan oleh bangsa yang lain. Ini bermakna, nama ini sebenarnya unik! Sepanjang hidupku juga, aku melalui pelbagai pengalaman pahit manis disebabkan berwajahkan Cina dan nama seperti nama Melayu.


Aku masih ingat lagi salah satu pengalamanku iaitu semasa aku mahu menghadiri satu perbicaraan kes di Mahkamah Klang suatu ketika dahulu. Seperti kebiasaannya aku akan berjalan kaki menuju ke mahkamah yang terletak tidak jauh dari tempat tinggal ku. Oleh kerana belum bersarapan pagi, aku telah singgah di sebuah restoran Cina untuk menghilangkan rasa lapar dan dahaga. Ketika itu aku berpakaian seragam, terus masuk ke dalam restoran tersebut lalu memesan segelas air dan semangkuk mee sup tetapi pelayan merenungku seperti ada suatu yang tak kena. Lalu aku bertanya kepadanya kenapa tengok aku sedemikian. Pelayan itu terus bertanya “U Cina ka?”. Aku beritahu, "Muka Cina tapi saya bukan Cina.” Aduhai, mentang-mentanglah kulit aku cerah dan wajahku seperti orang Cina. Sekali lagi pelayan tersebut berkata, “ Kalau U bukan Cina, U misti Melayu punya olang.” dalam loghatnya. Sekali lagi aku memberitahunya yang aku juga bukan Melayu tetapi pelayan tersebut tidak percaya. Lalu aku bertanya kenapa kata aku Melayu? Rupa-rupanya dia ternampak tag namaku di pakaian seragam dan menyangkakan aku adalah orang Melayu, dan dia rasa musykil kerana menyangkakan orang Melayu masuk ke restoran Cina. Setelah menjelaskan keadaan sebenar, barulah pelayan tersebut mengambil pesananku.Itu pun setelah beberapa kali aku terpaksa jelaskan kepadanya.


Namun apapun yang berlaku, aku tetap bersyukur dan berbangga kerana memiliki nama ini. Bangga dan bersyukur kerana nama ini diberi oleh kedua-dua orang tuaku. Dibuatnya nama diberi seperti Cipan ke, Kubin ke..macammana? Tak ke haru-biru dibuatnya?? Apapun, samada aku ini orang Cina atau orang Melayu aku tak kisah. Yang penting aku hidup dalam keadaan yang aman dan harmoni bersama-sama dengan masyarakat yang berbilang kaum, bangsa dan agama. Maka, selagi aku masih bernafas di muka bumi ini dan selagi ada individu yang bertanyakan samada aku ini orang Cina atau orang Melayu, maka inilah jawapan ku untuk mereka, “MUKA CINA TAPI SAYA BUKAN CINA, NAMA MELAYU TAPI SAYA BUKAN MELAYU..”

1 comment: